Showing posts with label PTS. Show all posts
Showing posts with label PTS. Show all posts

Sunday, January 18, 2009

Hero Assyira


Hero Assyira
Tajuk : Hero Assyiria
Penerbit : PTS One Sdn Bhd
Penulis : I.M . Amin
Harga : Sem m'sia RM 14.00
Sabah & S'wak RM 17.00


Adakalanya apabila kebebasan melakukan apa sahaja tanpa kawalan akan memberikan satu kesan yang amat dahsyat. Novel ini mengungkap nilai manusia apabila manusia diberi kebebasan melakukan apa jua yang terbuku di hati. Perbezaan kasta dan perasaan untuk saling menguasai antara satu sama lain adalah satu perlumbaan hidup yang akan hanya menerbitkan kekacauan dan huru-hara.

Novel ini mengungkap kisah manusia bersayap dan berinsang. Kedua-duanya mempunyai nilai dan taraf hidup dan berbeza. Manusia yang bersayap tinggal di langit dan mengusai pentadbiran yang di ketuai oleh jeneral U. Manakala manusia yang mempunyai insang hanya tinggal di laut dan menjadi golongan bawahan.

Konflik bermula apabila Koul seorang anak manusia berinsang yang mendapat keistimewaan untuk memasang sayap dan berkhidmat dengan manusia bersayap, memohon cuti untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit di laut. Permohonan cutinya tidak di luluskan malahan dia disingkirkan daripada kerajaan manusia bersayap. Dia yang menaruh dendam mengumpul semua manusia-manusia berinsang dan mengepalai satu pasukan pemberontakan menentang kerajaan manusia bersayap.

Manakala flora,Xanis,Jez cuba menyelongkar rahsia disebalik perperangan itu. Mereka menemui semula guru yang pernah mengajar mereka dahulu untuk menamatkan peperangan itu. Dan misi mereka adalah untuk melenyapkan Gudang Biru dan Gudang Putih yang di katakan menjadi punca pertelingkahan ini.

Secara jujurnya aku berpendapat bahawa novel ini agak sinis dengan sindiran hidup.Mungkin penulis ini seorang yang menghayati makna hidup dari pespektif yang berlainan. Mungkin Topik "Berkata pahit, sekalipun perit " menjadi tema penceritaan novel ini.

Jalan ceritanya digarap dengan baik dan isu-isunya di ungkap satu demi satu. Jika anda teruja akan cerita bergini sila dapatkan naskahnya di pasaran sekarang.

Keris Panca Delima Sakti

Tidak banyak yang baharu dalam penulisan novel ini. MEskipun ia di bawah panji cerita klasik, namun penggarapannya masih lagi dalam penggunaan bahasa yang mudah, tidak seperti sastera hikayat yang memeningkan kepala (walaupun pening kepala tapi sangat bagus untuk dibaca). Kisahnya mudah dan tidak sukar untuk menelah perkara yang berlaku dalam novel ini. Dari bab 1 hinggalah yang terakhir, ia mudha ikuti dan dapat ditelah oleh pembaca.

Namun begitu, penceritaannya masih lagi dalam lingkungan sub genre hikayat. Ini terkesan dari penggunaan nama-nama watak, kisah pertemuan dengan raja-raja, makhlluk aneh dalam kisah ini juga ada walaupun hanya gajah tersebut yang mempunyai 'kuasa' yang luarbiasa selain dari keris yang digunakan oleh Awang Kecil untuk menyelamatkan tuan puteri.. Awang Kecil dan Awang Besar, 2 sahabat yang bertemu ketika masing-masing dalam perjalanan. Awang Kecil (tubuhnya memang kecil) memang seorang yang pemalas, sifatnya tidak berubah hinggalah suatu hari dia dihantar bapanya untuk mempelajari ilmu persilatan.


Di sini saya dapat melihat aspek positif yang cuba diterapkan. Ilmu beladi silat yang sememangnya menekankan disiplin yang tinggi dapat mengubah sikap diri seseorang melalui pembelajarannya. Membaca sekali lalu sahaja, saya dapat memahami keseluruhan novel ini. Saya kira novel ini agak kurang mencabar meski nilai-nilai pendidikan yang disuguhkan amat begus sekali. Sesekali saya tersilau oleh bayangan cerita-cerita hikayat yang pernah saya baca.


Pengembaraan Awang Kecil dan Awang Besar pun bermula hinggalah sampai ke sebuah negeriyang puteri rajanya terpaksa diserahkan kepada seekor gajah yang dikatakan membantu raja untuk mendapatkan anak setelah skeian lama mengidamkannya. Namun tentu sekali pertolongan yang sebegitu harus dibayar pula dengan sesuatu. Tuan Puteri harus diserahkan kepada gajah tersebut apabila sampai masa. Keengganan raja, menyebabkan gajah tersebut menyerang istana dan kawasan kampung hingga menjadi padang jarak padang terkukur.

Kebetulan kedua Awang berada di situ (setelah Awang Kecil mendapat alamat melalui mimpi), mereka ke istana dan menyatakan mimpi yang dialaminya. Raja kemudiannya percaya lalu menyerahkan keris pusaka panca delima sakti kepada Awang Kecil untuk dipertanggjawabkan mengambil semula tuan puteri dari dalam tangan gajah tersebut. Pelbagai dugaan yang dilalui ileh mereka setelah menyelamatkan tuan puteri.


Hinggalah Awang Besar sendiri mengkhianati Awang Kecil kerana tergiur untuk beristerikan tuan puteri. Terjadilah kisah Awang Besar mengadap raja lalu memfitnah Awang Kecil. Akhirnya Awang Kecil dapat membuktikan dirinya tidak bersalah melalui perlawanan silat.


Adat Melayu dalam novel ini diselitkan secara ringan. Saya memang faham apabila mata saya menekuni perkataan yang berkaitan dengan adapt istiadat Melayu. Mungkin dapatlah penulis menambah lagi adat-adat Melayu lama di dalam kisah ini, tentunya ia menjadi bertambah molek dan menarik. Namun begitu usaha untuk menerbitkan kisah-kisah sebegini harus dipuji dan diteruskan. Semoga ada lagi kisah-kisah yang menarik.

Lembah Angin

Bagi aku ini merupakan sebuah cerita fantasi yang agak menarik, meskipun bersifat sederhana dari aspek penceritaannya, namun ia tetap menghiburkan. Siapa tidak teruja di zaman yang semi kolnial, punya kapal yang mampu terbang dan mempunyai pelbagai alatan senjata untuk menghadapi musuh. Namun terdapat sedikit kesilapan cetak pada halaman 8 ke halaman 9, di mana ceritanya tiba-tiba sahaja bagaikan melompat.

Tercari-cari juga aku akan sambungan sekiranya terdapat di dalam novel itu, namun nil. Satu lagi adalah di halaman 11, asteriknya dicetak di atas ayat. Tapi tidak mengapa, bagi aku yang penting adalah penceritaannya adalah asli, meskipun ada bab yang mudah ditebak, namun ia mempunyai twist yang tersendiri meski sederhana.



Judul : Lembah Angin
Penulis : Ahmad Mahzan
Penerbit : PtsOne
Harga : RM 15.00
Halaman : 228

Bagi peminat novel fantasi ala sai-fai sederhana, novel ini memang memenuhi maksudnya, apatah lagi diterbitkan di bawah label PTSOne untuk awal remaja dan remaja. Selain itu, plot disusun dengan kemas dan satu-satu bab itu tidak diberikan peleraian yang sebegitu sahaja. Jadi, untuk mengikuti sambungannya, harus terlebih dahulu membaca satu demi satu bab sehingga tamat. Dan aku dapat merasakan bagaikan ada sambungan kedua selepas ini. Apa-apa hal pun, tahniah diucapkan kepada penulis yang mampu memberikan satu hidangan baru dalam dunia penulisan.

Sumber : Mandala Resensi

Takluk Jagat Bhg : II

Tajuk : Takluk Jagat : Bahagian II - Amukan Indera Bumi
Penulis : Zaki Zainol
Penebit : PTS Fortuna
Harga : RM 24.00
Halaman : 368 m/s

Apa yang seronoknya membaca Takluk Jagat II ini? Ya, kali ini aku harus mengakui bahawa novel ini mampu aku selami secara mendalam dan mudah sahaja terbawa oleh gaya bahasa dan penceritaannya yang bersahaja tapi ama mengesankan. Berbanding dengan yang pertama, aku rasa mungkin episod pertama agak membosankan kerana ia lebih kepada pengenalan watak-watak dalam novel ini. Kali ini Bayu Adi Jata beru mengetahui rahsia sebenar siapa ayah dan datuknya. Memang agak komplikated ceritanya dan perlu ditangani secara rinci. Kalau membaca sekali lalu memang takkan faham dengan apa yang diceritakannya. Plotnya kali ini bergerak pantas dan segera menangkap pemahaman aku bahawa Bayu bukan lagi main-main dalam pencariannya untuk mendapatkan senjata yang bergelar Indera Bumi dan Takluk Jagat. Memang agak mengujakan.

Sesekali disulami dengan jenaka yang sederhana ringan dan bersahaja. Memang sesiapa yang menggemari anime akan terbayang seketika humor yang disuntik secara ringan ini. Selain itu, Takluk Jagat II menghidangkan jagat persilatan yang agak lari dari yang sebenar, namun kepala aku bagaikan dapat menerima meskipun istilah-istilah baru muncul, jurus-jurus yang dinamakan telah dapat aku terima, tidak lagi seperti yang pertama, aku sudah tidak membayangkan lagi bahawa komik-komik kunfu cina yang berterabur di pasaran. Kali ini minda aku mengatakan bahawa ini adalah istilah original penulis yang digarap untuk meyakinkan lagi pembaca bahawa memang benar-benar wujud segala ilmu dan jurus-jurus mautnya. Meskipun begitu, memang ada setengah dari istilah itu wujud dalam jagat persilatan Melayu. Kemungkinan pada masa akan datang penulis dapat membuat rujukan secara mendalam tentang istilah-istilah ini. Tapi peduli apa, Kangaq, kau buat sajalah. Yang penting novel ini aku sudah tangani, wah dalam masa 2 hari sahaja. Kalau novel yang pertama memakan masa juga untuk dihadami, tapi kali ini tidak. Sehebat dan pantas jurus-jurus yang dilancarkan, begitulah juga pantas mata aku meniti setiap aksara yang tertera.

Kali ini juga banyak kejutan yang tidak disangka. Memang alam Melayu kita tidak terlepas dari berkait dengan dunia ghaib. Malah lebih menarik unsur-unsur percintaan diselitkan secara tidak terasa, tak terasa sangatlah kejiwangannya, tidak meleleh dan mendayu-dayu. Memang ada ucap-ucap yang agak mellow tapi tidaklah menghanyutkan sangat. Ala kadar sahaja. Apa-apa hal pun Takluk Jagat II ini sangat mengesankan. Bagi peminat novel fantasi, ini adalah satu novel yang sukar untuk dilepaskan. Bagi, aku ia mempunyai kelas yang tersendiri, kalau pun engkau sudah mentelaah novel2 fantasi barat, bagi aku, ini adalah hasil novel fantasi yang sewajarnya dibaca.

Jalinan plot yang kemas, gaya bahasa klasik sederhana serta penggunaan jampi mantera berunsur pantun terasa amat segar. Walaupun ucap-ucap jampi manteranya tidaklah seperti yang selalu kita baca dan lihat, namun penulisnya berjaya mengungkapkan dalam bahasanya yang tersendiri. Bagi mereka yang biasa dengan alam persilatan akan merasa sedikit janggal, tapi cubalah baca novel ini untuk mendapatkan sedikit pembaharuan. Penulis dari kacamatanya sendiri bagi aku berjaya menarik minat aku untuk menghabiskan novel ini dalam masa yang singkat. Tahniah kepada penulisnya!

Sumber Ulasan : Mandala Resensi

Transgenesis



Tajuk: Transgenesis
Penerbit : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Penulis : Amir Husaini
Harga : Semenanjung RM 24.00
Sabah/ Sarawak RM 27.00

Dapatkah anda bayangkan ada manusia yang memiliki kelebihan seperti hidup tanpa perlu makanan. Boleh berkomunikasi dengan tumbuhan. Berupaya mengarah tumbuh-tumbuhan mengikut arahannya.Novel ini mampu menjadikan diri anda sebahagian daripada saintis dunia. Novel ini mengungkap satu dimensi baru dalam karya sains fiksyen dan fantasi. Ini kerana novel ini menggabungkan pelbagai tema antaranya:

  1. Nilai-nilai kemanusiaan


  2. Kesetiaan


  3. Sains dan teknologi
Aku hanya perlu mengambil masa kira-kira 1 jam untuk menghabiskan bacaan untuk novel ini. Garapannya memang baik dan memberitahu seolah-olah kita sudah beada di zaman teknolgi yang amat canggih. Malahan dari cara penceritaan kita merasakan bahawa perkara ini benar terjadi.

Penulis ini memilikki gedung pengetahuan yang amat tinggi dalam bidang sains ini kerana setiap istilah sains berjaya di terangkan dengan mudah dan jelas. Grafiknya pula lebih ke arah novel percintaan ini kerana pemilihan media yang agak harmonis dan romantik.

Novel ini mengisahkan tentang teknologi pengklonan manusia dan tumbuhan. Hasil dari eksperimen ini melahirkan makhluk yang bernama 4-7-9-1 atau Flora. Flora ini berupaya mencipta makanan sendiri sepertimana tumbuhan hijau membuat makanan melalui proses fotosistesis.Dia juga berupaya untuk mengawal tumbuh-tumbuhan mengikut arahannya.

Disebalik kejayaan ini tersimpan satu rahsia di antara Datin Kay, Datuk Jay, Professor Ned yang menjalankan projek ini. Kematian tauke Hwang Chien Meng di kawasan pembalakan nya sendiri mengundang persoalan.Apa yang hangat diperkatakan ialah beliau di bunuh oleh gadis berambut dan bermata hijau . Persoalannya siapakah gadis hijau tersebut?

Buraquzzaman seorang wartawan akhbar cuba merungkai permasaalahan ini. Tanpa dia sedar dia telah terlibat dalam satu pakatan konspirasi sejak pendudukan jepun di Malaya. Lebih malang lagi hasil ciptaan yang di kawal selia oleh Professor Ned telah berjaya melarikan diri. Lalu usaha-usaha menjejakinya di lakukan.

Di dalam pencarian itu, mereka menempuh pelbagai rintangan dan dugaan yang di luar jangkauan akal. Berjayakah Professor Ned mencari "hartanya yang hilang" dan apakah pula perkaitannya dengan Datin Kay, Datuk Jay dan juga Razilan?

Ingin tahu jawapannya ? Dapatkan Naskah anda di pasaran.

Sumber Ulasan : Mandala Resensi

Galaksi Muhsinin

Permulaan cerita ini agak mendatar sedikit, berbentuk esei-dialog yang menceritakan serba sedikit sejarah kerajaan Islam Andalusia serta disulami dengan barisan dialog yang juga mendatar. Namun ia tidak berpanjangan, sejurus sahaja memasukki bab yang seterusnya, ia menghidangkan pergerakan plot yang pantas dan mendebarkan. Kisah perang di angkasa mewarnai hampir setiap bab tanpa sempat bertangguh lagi.

Ya, itulah kekuatan novel Fiksyen Sains yang bergerak atas dasar peperangan di angkasa ini. Bermula dengan kesombongan Mahara Legion yang mahu menakluki seluruh galaksi termasuklah Galaksi Muhsini, menyebabkan berlakunya pertempuran hebat. Setelah Galaksi Muhsinin campur tangan terhadap serangan Maharaja Legion terhadap beberapa planet di galaksi yang menjadi naungannya. Jelas ternyata novel ini menyuntik unsur-unsur Islami secara bijak dan cermat. Meskipun beberapa ayat-ayat Qur'an disulamkan secara langsung, namun ia mengindahkan lagi novel ini. Walaupun saya tidak berapa gemar cara tersebut namun saya fikir Galaksi Muhsinin tidaklah terlalu banyak memasukkan ayat-ayat Qur'an dan nas secara langsung, namun saya lebih gemar cara kedua, iaitu penulis memasukkannya ke dalam dialog dan menjadi sebahagian daripada garapan novel ini. Saya percaya cara ini akan lebih mendatangkan kesan berbanding dengan stail dan pengolahan yang bersifat didaktik.

Pun begitu, saya amat teruja dengan isi cerita novel ini yang menyajikan kita dengan kepelbagaian unsur dan tampilan yang kuat dalam era penggunaan senjata dan peralatan moden dalam bertempur. Saya sedikit terpegun dengan istilah-istilah yang digunakan, kerana jarang kedapatan dalam novel-novel fiksyen sains, seperti juga ketika membaca novel Jian, garapan Fadli Al-Akiti. Walaupun ia bukanlah satu keutamaan dalam pencirian dan pengarapan novel, namun ia berjaya menarik perhatian saya untuk menjadi 'tidak sabar' dalam menyudahkannya hingga babak terakhir.

Cuma babak-babak peperangan yang dihidangkan terlalu panjang, memakan hingga beberapa bab dan tidak sempat untuk benak saya melayang dalam mengenang keindahan berada di angkasa. Kepala saya sering tergambar bunyi amaran dan lampu merah yang menyala dalam kapal angkasa serta kapal pejuang yang menyatakan musuh dikesan dan berada dalam parameter protagonis. Bagi saya tidak menjadi masalah, namun bagi pembaca yang baru hendak berjinak dengan genre ini pasti akan merasa letih dalam membayangkan tembakan laser yang berceridau, letupan demi letupan, kejar mengejar kapal angkasa serta jering raung dan pekik akibat terkena tembakan. Tidak mengapalah tentang itu, untuk saya tidak menjadi masalah.

Dari segi penggarapan, gaya bahasa - ia amat meyakinkan dan sesungguhnya saya menantikan sambungannya sekiranya ada lagi. Ya, seperti yang saya katakan di entri yang lepas, ini juga merupakan salah satu novel fiksyen sains yang WAJIB dibaca selepas, Opera Angkasa dan Jian. (Eh, pagi saya ke Kino, Fadz ... tapi tidak berjumpa dengan novel Saga Horizon anda, mana ya?) Walaubagaimana pun tahniah kepada Azrul Jani yang menghidangkan karya yang selazat ini.

Tajuk : Galaksi Muhsinin
Penulis : Azrul Jani
Penerbit : PTS
Harga : RM 19.00 (Semenanjung)
Halaman : 313

Sumber Ulasan : Mandala Resensi

Opera Angkasa

Apa yang menarik dengan Opera Angkasa? Ya, bagi saya ia memang sebuah naskhah yang menarik dan WAJIB dibaca oleh pencandu karya fiksyen sains. Meskipun ia merupakan karya yang sederhana sifatnya secara keseluruhannya tapi ia amat menghiburkan. Terma-terma saintifik yang digunakan tidaklah terlalu komplikated jika dibandingkan dengan Galaksi Muhsinin (ini satu lagi karya fiksyen sains yang WAJIB dibaca!)

Hati saya tersentap-sentap untuk mengetahui apakah kesudahan selajutnya apabila disebutkan tentang 7 pewaris kemusnahan. Sekali lalu membaca, memang mudah bagi saya untuk 'menyelam' ke dalam penceritaannya. Watak-watak Arman, Razi, Ted, Niki dan Faridah bergerak secara sejajar dan memenuhi setiap plot di dalam novel ini. Sudah hampir 2 minggu lepas saya membacanya tapi baru kini berkesempatan untuk membuat sedikit ulasan. Kebelakangan ini saya digeluti oleh kerja-kerja penulisan saya sendiri

Ini merupakan karya kedua hasil tangan penulisnya, M Nazri Annuar yang saya baca selepas karya Aliya Elyana. Apa yang mengujakan adalah kerana ketelitian penulis ini dalam menyusun plot yang bergerak agar ia bersifat saspen dan tertunggu-tunggu. Tidak semudah itu penulis menyajikan pergerakan plotnya, sengaja ditahan untuk menimbulkan rasa 'geram' pembaca untuk terus mengikutinya hingga ke halaman yang terakhir. Sesekali kepala saya tergambar juga bulan, bintang, angkasa, planet-planet serta makhluk aneh yang dicipta. Bagaimana loket yang mengandungi taring yang mampu mengaktifkan 7 waris pemusnah itu amat menarik bagi saya.

Lama juga rasanya tidak membaca karya yang sebegini. Baik, Ted, Razi dan Arman adalah lanun angkasa (gelaran yang amat tidak digemari oleh mereka), dalam terdesakan untuk penghidupan dan hutang yang berlambakan, terpaksa mengambil kerja untuk menghantar Faridah yang dikatakan merupakan pewaris 7 kemusnahan. Tidak menyangka juga saya akan pakciknya sendiri yang telah berkomplot dengan Alfonso yang sememangnya merupakan penjenayah di galaksi mereka. Meskipun pada akhirnya, pakciknya terbunuh dalam kejadian (ketika Faridah mendapat intuisi bagaimana untuk mengawal 7 waris kemusnahan itu dengan fikirannya) ketika 7 pewaris kemusnahan dibangkitkan dari tidurnya mereka yang panjang.

Ya, itu sahaja yang saya mahu perkatakan tentang novel ini, biar ada rasa 'geram' juga dalam hati pembaca untuk mengikuti sendiri kisah dan perjalanan mereka yang sangat mendebarkan.

Tajuk : Opera Angkasa
Penulis : Nazri M Annuar
Penerbit : PTS Fortuna
Harga : RM 21.00 (Semenanjung)
Halaman : 287 m/s (tidak termasuk gambar/lukisan)

Sumber Ulasan : Mandala Resensi

Robotan

Tajuk : Robotan
Penulis: Mohd Faisal Nordin
Penerbit: PTS
Harga: RM 15.00

Novel sains fiksyen (sf) yang aku kira amat sesuai sebagai suatu proses pengenalan kepada kanak-kanak dan pra remaja yang baharu berjinak-jinak dengan dunia sains fiksyen. Dengan gaya bahasa yang santai dan sederhana, aku dapat merasakan novel ini mampu diminati oleh golongan tersebut. Meskipun gaya bahasa yang digarap pada beberapa bab awal sedikit kaku, namun penghayatan terhadap plot yang dipersembahkan menyebabkan aku seolah-olah terlupa tentang gaya bahasa yang menuruti mazhab PTS ini. Kisah mengenai buana robot dan teknologi pembuatan Artificial Intelligence (AI) yang menyuntik semangat kekeluargaan dan kasih sayang disepanjang penceritaannya. Terlebih lagi, Tempe (robot) yang dijumpai oleh Amin ketika duduk mengenangkan kisah sedihnya.

Tanpa berlengah robot tersebut dibawa ke rumah dan diperbaiki. Pada awalnya robot yang diprogram untuk tugas siasatan ketenteraan itu agak ‘liar’ dan hampir menyebabkan kecederaan kepada Amin (watak utama), Aminah (adik Amin) dan pakcik Zaid (bapa mereka berdua). Namun atas kebijaksanaan Aminah robot tersebut berjaya dijinakkan dengan mengubah beberapa program yang sediada. Di sini, aku dapat merasakan watak Aminah dibijaksanakan oleh penulis. Bagi aku, ini sesuatu yang bagus sekali kerana watak itu meskipun masih kecil tapi mempunyai daya bijaksana dan taakulan yang tinggi terhadap dunia robotik. Mungkin kerana bapanya sebagai mantan syarikat Robotan Sdn Bhd yang telah pencen mempunyai kepandaian dalam bidang robotik. Sesekali membaca cerita ini, dunia aku melayang sebentar kepada filem AI dan Unisol (Universal Soldier) yang ditayangkan di negara ini tidak lama dahulu.

Disamping Sudin, mewakili protagonist dalam novel ini amat cermat penggarapannya. Dirinya yang selalu cemburu kepada Amin, telah mencabar Amin untuk berlawan dengan robot miliknya. Hampir sahaja dia terbunuh kerana Tempe secara otomatik mengaktifkan program penghapusan kerana telah mencederakan tuannya, Amin. Kalau tidak kerana kemaafan yang diberi, tentu sahaja Sudin pergi tanpa pesanan. Dalam pada itu, Sudin kelihatan telah insaf atas segala perbuatannya namun di akhir cerita ini, rupa-rupanya dia bersekongkol dengan Prof. Don yang gila dan jahat.

Selain itu, ia memaparkan alam pergaduhan dalam dunia robotik yang aneh dan pelik. Bagaimana dua mesin bertempur dengan menggunakana peralatan dan senjata yang canggih dapat divisualkan melalui tulisan dan lukisan yang diselitkan. Pada fikiran aku, ilustrasi ini memang dapat membantu aku untuk lebih cepat menangkap adegan yang sedang disampaikan.

Berbalik kepada AI tadi, penulis novel ini cuba memaparkan betapa Tempe yang dicipta oleh Prof.. Zaki yang cuba memanusiakan robot ciptaannya ini. Ya, dalam dunia era teknologi masakini, memang sudah ada ujian yang dilakukan untuk ke arah itu. walapuu begitu, aku fikir penulis juga cuba menerangkan apakah kelemahan-kelamahan yang ada pada robot tersebut. Bagi aku, ia bagaikan satu sindiran sosial kepada masyarakat masakini yang cuba mencipta sesuatu yang tidak mungkin dapat menyamai ciptaan Tuhan yang lebih jauh sempurna. Ini digambarkan apabila Tempe yang mulanya tidak dapat dikawal. Begitu juga ciptaan Prof Don, Rimau-X yang menjadi ‘gila’ diakhir pertempuran dengan Tempe. Dunia robotik pada realitinya memang menjadi kegilaan di negara-negara maju, novel ini secara kasarnya menggambarkan apa yang bakal terjadi pada masa akan datang sekiranya dunia robotik ini benar-benar wujud dalam akrab dalam penghidupan manusia nanti.

Dan sedikit percampuran sosial turut diletakkan antara perpaduan kaum, maskipun terasa agak janggal, mungkin di novel akan datang dapat dikembangkan lagi watak Eng dan Siva yang merupakan individu yang turut mempunyai pengetahuan dalam alam robotik ini. Ini juga merupakan satu manifestasi bahawa tidak ada satu kaum pun yang akan terlepas dari dilanda arus kemodengan dan teknologi ini.

Kulit Luar – Macam robot transformer!

Isu yang disingkapan :
1. Dunia robotik yang akan berlaku pada masa akan datang.
2. Pro dan kontra dalam penciptaan sibernatik organisma ini.
3. Pada masa akan datang, tidak mustahil dunia robotik ini akan kita lalui
4. Kesan-kesan yang bakal kita hadapi dalam menangani dunia teknologi itu
5. Kesan-kesan yang akan menimpa manusia jika teknologi ini disalahgunakan
6. Dalam dunia robotik, terdapat banyak perkara yang tidak disangka-sangka. Misalnya watak Zul, juga merupakan cyborg walaupun zahirnya ia kelihatan seperti manusia biasa sahaja.
7. Niat buruk pasti akan menerima balasan yang setimpal.

Kesimpulan :

Alam robotik yang canggih ini bakal mendepani waktu-waktu yang mendatang. Mungkin tidak hari ini, namun ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Siapa tahu, rakan baik kita sebenarnya merupakan organisma robot ini? Mungkin bos kita, ibu bapa kita, siapa tahu? Apa pun, tahniah kepada penulis yang berani mengetengahkan dunia robotik yang semakin hari semakin dekat dirasakan akan menggulati kehidupan kita tidak lama lagi. Tiada istilah yang mustahil, teringat juga bagaimana saintis Jepun yang mencipta robot yang boleh bernafas dan mempunyai sistem perpeluhan seperti kita. Hah! Mana tahu akan ada pula robot ustaz dan sebagainya? Secara keseluruhannya, novel ini amat sesuai sekali untuk dibaca oleh mereka yang mempunyai citarasa dalam dunia sains dan teknologi. Meskipun ia boleh dianggap sebagia karya sf yang ringan, namun pastinya ia adalah sebagai permulaan bagi perjalanan ke alam sf yang lebih komplikated. Kita mengharapkan agar penulisnya dapat menghasilkan lagi karya-karya sebegini untuk memeriahkan dunia penulisan tanah air yang ketandusan dengan karya-karya sf dan fantasi.

Tajuk sama mcm anime Jepun?
Trailer Transformer
Artificial Intellegence - Wikipedia

Sumber : Blog Mandala Resensi

Arjuna Jiwa


Tajuk : Arjuna Jiwa
Penerbit : PTS Fortuna
Penulis : Z. A Imad
Harga : RM 25.00 (Sem M'sia)
RM 28.00(sbh S'wak)

Pertama kali sewaktu aku melihat grafik buku ini, aku mengambarkan ianya hanyalah buku untuk bacaan kanak-kanak dan remaja. Namun setelah aku menatapinya hingga akhir ternyata novel yang diklasifikasikan dalam kategori cerita rakyat ini membawa mesej yang agak sarat.

Novel ini lebih kepada novel motivasi cerminan diri. Watak-wataknya digarap dengan penuh teliti dan mampu mencipta satu suasana purba walaupun adakalanya susunan bahasanya bersifat modenistik.Namun begitu ia merupakan satu percubaan yang agak baik.
Berkonsepkan Agama Islam novel ini mampu mendidik pembaca menghayati kehidupan yang berlandaskan syariat.

Arjuna Jiwa seorang kanak-kanak yang membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.Ironinya dia sendiri tidak mengenali siapa ibu bapanya. Dia hanya hidup bertemankan sahabat baiknya Galah Rabun dan Si Talam Tujuh berusaha mencari sesuap nasi saban hari. Mereka melakukan apa sahaja pekerjaan demi mengalas perut mereka. Lumrah kehidupan apabila diri tiada mempunyai harta lalu kehinaan lah yang menjadi teman.Arjuna Jiwa seringkali dikambing hitamkan setiap kali peristiwa yang kurang enak berlaku namun, dia hanya pasrah. Malahan dia sanggup menggadaikan dirinya walaupun kesalahan itu dilakukan oleh sahabat baiknya.

Namun panas yang disangka sampai kepetang rupanya hujan di tengah hari. Kehadiran Disfum Silbi merubah setiap gerak tari penduduk kampung. Dia yang memilikki ilmu sihir yang amat tinggi serta mempergunakan dewi kalbu iaitu seorang gadis yang amat cantik dan bijak telah mengucar-kacirkan suasana yang harmoni. Lebih malang lagi sahabat baik Arjuna jiwa yang dahulu sehidup semati telah bertukar arah menentangnya.

Arjuna jiwa terpaksa melalui detik-detik yang amat mencabar kekuatan imannya. Bertemankan seorang pendita beliau mengharungi setiap natijah kehidupan yang sentiasa menduganya.

Secara keseluruhanya novel ini menyelitkan unsur-unsur pendidikan yang diolah menjadi santapan minda yang menarik. Tahniah buat penulis ini yang berjaya menyentuh jiwa pembaca kepada mengenali apakah dia "Amar Ma'ruf Nahi Mungkar".

Harapanku agar lebih ramai lagi yang akan terus memperkasakan ilmu-ilmu kehidupan di dalam bentuk kreatif bergini. Ini kerana di pasaran kita melihat tiada lagi bacaan ilmiah yang bergini. Novel ini sesuai ntuk tatapan semua generasi.