Permulaan cerita ini agak mendatar sedikit, berbentuk esei-dialog yang menceritakan serba sedikit sejarah kerajaan Islam Andalusia serta disulami dengan barisan dialog yang juga mendatar. Namun ia tidak berpanjangan, sejurus sahaja memasukki bab yang seterusnya, ia menghidangkan pergerakan plot yang pantas dan mendebarkan. Kisah perang di angkasa mewarnai hampir setiap bab tanpa sempat bertangguh lagi.
Ya, itulah kekuatan novel Fiksyen Sains yang bergerak atas dasar peperangan di angkasa ini. Bermula dengan kesombongan Mahara Legion yang mahu menakluki seluruh galaksi termasuklah Galaksi Muhsini, menyebabkan berlakunya pertempuran hebat. Setelah Galaksi Muhsinin campur tangan terhadap serangan Maharaja Legion terhadap beberapa planet di galaksi yang menjadi naungannya. Jelas ternyata novel ini menyuntik unsur-unsur Islami secara bijak dan cermat. Meskipun beberapa ayat-ayat Qur'an disulamkan secara langsung, namun ia mengindahkan lagi novel ini. Walaupun saya tidak berapa gemar cara tersebut namun saya fikir Galaksi Muhsinin tidaklah terlalu banyak memasukkan ayat-ayat Qur'an dan nas secara langsung, namun saya lebih gemar cara kedua, iaitu penulis memasukkannya ke dalam dialog dan menjadi sebahagian daripada garapan novel ini. Saya percaya cara ini akan lebih mendatangkan kesan berbanding dengan stail dan pengolahan yang bersifat didaktik.
Pun begitu, saya amat teruja dengan isi cerita novel ini yang menyajikan kita dengan kepelbagaian unsur dan tampilan yang kuat dalam era penggunaan senjata dan peralatan moden dalam bertempur. Saya sedikit terpegun dengan istilah-istilah yang digunakan, kerana jarang kedapatan dalam novel-novel fiksyen sains, seperti juga ketika membaca novel Jian, garapan Fadli Al-Akiti. Walaupun ia bukanlah satu keutamaan dalam pencirian dan pengarapan novel, namun ia berjaya menarik perhatian saya untuk menjadi 'tidak sabar' dalam menyudahkannya hingga babak terakhir.
Cuma babak-babak peperangan yang dihidangkan terlalu panjang, memakan hingga beberapa bab dan tidak sempat untuk benak saya melayang dalam mengenang keindahan berada di angkasa. Kepala saya sering tergambar bunyi amaran dan lampu merah yang menyala dalam kapal angkasa serta kapal pejuang yang menyatakan musuh dikesan dan berada dalam parameter protagonis. Bagi saya tidak menjadi masalah, namun bagi pembaca yang baru hendak berjinak dengan genre ini pasti akan merasa letih dalam membayangkan tembakan laser yang berceridau, letupan demi letupan, kejar mengejar kapal angkasa serta jering raung dan pekik akibat terkena tembakan. Tidak mengapalah tentang itu, untuk saya tidak menjadi masalah.
Dari segi penggarapan, gaya bahasa - ia amat meyakinkan dan sesungguhnya saya menantikan sambungannya sekiranya ada lagi. Ya, seperti yang saya katakan di entri yang lepas, ini juga merupakan salah satu novel fiksyen sains yang WAJIB dibaca selepas, Opera Angkasa dan Jian. (Eh, pagi saya ke Kino, Fadz ... tapi tidak berjumpa dengan novel Saga Horizon anda, mana ya?) Walaubagaimana pun tahniah kepada Azrul Jani yang menghidangkan karya yang selazat ini.
Tajuk : Galaksi Muhsinin
Penulis : Azrul Jani
Penerbit : PTS
Harga : RM 19.00 (Semenanjung)
Halaman : 313
Sumber Ulasan : Mandala Resensi
No comments:
Post a Comment