Tidak banyak yang baharu dalam penulisan novel ini. MEskipun ia di bawah panji cerita klasik, namun penggarapannya masih lagi dalam penggunaan bahasa yang mudah, tidak seperti sastera hikayat yang memeningkan kepala (walaupun pening kepala tapi sangat bagus untuk dibaca). Kisahnya mudah dan tidak sukar untuk menelah perkara yang berlaku dalam novel ini. Dari bab 1 hinggalah yang terakhir, ia mudha ikuti dan dapat ditelah oleh pembaca.
Namun begitu, penceritaannya masih lagi dalam lingkungan sub genre hikayat. Ini terkesan dari penggunaan nama-nama watak, kisah pertemuan dengan raja-raja, makhlluk aneh dalam kisah ini juga ada walaupun hanya gajah tersebut yang mempunyai 'kuasa' yang luarbiasa selain dari keris yang digunakan oleh Awang Kecil untuk menyelamatkan tuan puteri.. Awang Kecil dan Awang Besar, 2 sahabat yang bertemu ketika masing-masing dalam perjalanan. Awang Kecil (tubuhnya memang kecil) memang seorang yang pemalas, sifatnya tidak berubah hinggalah suatu hari dia dihantar bapanya untuk mempelajari ilmu persilatan.
Di sini saya dapat melihat aspek positif yang cuba diterapkan. Ilmu beladi silat yang sememangnya menekankan disiplin yang tinggi dapat mengubah sikap diri seseorang melalui pembelajarannya. Membaca sekali lalu sahaja, saya dapat memahami keseluruhan novel ini. Saya kira novel ini agak kurang mencabar meski nilai-nilai pendidikan yang disuguhkan amat begus sekali. Sesekali saya tersilau oleh bayangan cerita-cerita hikayat yang pernah saya baca.
Pengembaraan Awang Kecil dan Awang Besar pun bermula hinggalah sampai ke sebuah negeriyang puteri rajanya terpaksa diserahkan kepada seekor gajah yang dikatakan membantu raja untuk mendapatkan anak setelah skeian lama mengidamkannya. Namun tentu sekali pertolongan yang sebegitu harus dibayar pula dengan sesuatu. Tuan Puteri harus diserahkan kepada gajah tersebut apabila sampai masa. Keengganan raja, menyebabkan gajah tersebut menyerang istana dan kawasan kampung hingga menjadi padang jarak padang terkukur.
Kebetulan kedua Awang berada di situ (setelah Awang Kecil mendapat alamat melalui mimpi), mereka ke istana dan menyatakan mimpi yang dialaminya. Raja kemudiannya percaya lalu menyerahkan keris pusaka panca delima sakti kepada Awang Kecil untuk dipertanggjawabkan mengambil semula tuan puteri dari dalam tangan gajah tersebut. Pelbagai dugaan yang dilalui ileh mereka setelah menyelamatkan tuan puteri.
Hinggalah Awang Besar sendiri mengkhianati Awang Kecil kerana tergiur untuk beristerikan tuan puteri. Terjadilah kisah Awang Besar mengadap raja lalu memfitnah Awang Kecil. Akhirnya Awang Kecil dapat membuktikan dirinya tidak bersalah melalui perlawanan silat.
Adat Melayu dalam novel ini diselitkan secara ringan. Saya memang faham apabila mata saya menekuni perkataan yang berkaitan dengan adapt istiadat Melayu. Mungkin dapatlah penulis menambah lagi adat-adat Melayu lama di dalam kisah ini, tentunya ia menjadi bertambah molek dan menarik. Namun begitu usaha untuk menerbitkan kisah-kisah sebegini harus dipuji dan diteruskan. Semoga ada lagi kisah-kisah yang menarik.
No comments:
Post a Comment