Sunday, January 18, 2009

Hijab Sang Pencinta


Ya, baru minggu lepas saya berjaya menghabisi novel yang tebal ini. Inilah kali pertama saya membaca novel keluaran hingga ke halaman yang terakhir. Tidak dapat saya nafikan ceritanya memang menarik. Kisah seorang Laksmana Sunan yang dikatakan telah bertarung dengan Laksmana Hang Tuah, lalu menghindarkan diri dan akhirnya tercebur ke dalam kancah pertarungan perebutan kuasa di kalangan kuasa-kuasa jahat. Pada mula, saya berasa agak pesimistik untuk menghabiskan novel ini memandangkan dua novel terawalnya saya tidak membacanya. Tapi saya fikir, setelah hampir kejemuan membaca novel ini, pada tengah halamannya baru saya seronok membacanya.

Meskipun gambar pendekar yang memegang keris itu amat-amatlah salah, namun saya teruskan juga pembacaan. Perkara ini telah saya tegurkan pada pihak mereka. Ini kerana, tidak mungkin seorang laksmana yang mempunyai ilmu persilatan Melayu yang tinggi, memegang keris dengan cara yang salah. Meskipun kecil, tapi ianya amat besar, terutama bagi masyarakat silat yang tajam amat matanya.

Kita tinggalkan soal memegang keris itu, dan sebenarnya saya senang sekali membaca novel ini. Cuma dari segi penggarapannya saya fikir terlalu banyak sub-plot hingga menganggu sedikit pembacaan saya dari terus lancar. Ianya sangat bersifgat didaktik dari segi penulisan, namun percubaan seperti itu bolehlah saya katakan, terpulang pada seseorang penulis itu berdakwah. Dari segi memasukkan ayat-ayat suci al Qur'an pula (dari beberapa perbincangan dengan teman-teman yang membaca novel ini) merasakan bahawa lebih cantik andainya ia dimasukkan secara bersahaja tanpa perlu meletakkannya dalam keadaan yang agak jelas dan nyata bagi saya.

Seperkara lagi saya berpendapat novel ini bukanlah dari genre thriller, tapi lebih bercorak pada Fantasi Sains yang memaparkan fakta-fakta yang benar dan juga hasil gabung jalin ide dan rangkuman ilmu bantu yang secukupnya. Tapi boleh saya katakan bahawa novel ini sedikit mencabar dan menuntut daya pemikiran, antara alam ghaib dan alam nyata - bagaimana ia bisa berlaku. Semuanya atas takdir Allah jua yang lebih mengetahui. Saya yakin dan percaya bahawa keuwujudan alam ghaib yang bersilsilahkan jin dan syaitan ini tidak akan ada perhentiannya dalam menggoda anak Adam.

Watak Manggala dan Taghut - nama sahaja kita sudah dapat membayangkan maksud. Manggala -manusia serigala, Taghut - perkataan Arab yang membawa maksud 'yang melampaui batas'. Selain watak wali sufi - guru kepada Saifudin - semua ini membayangkan terdapatnya pertentangan atau konflik yang berlaku di antara kebaikan dan kejahatan. Jadi tema sebenar novel ini adalah kebaikan mengatasi kejahatan. Menarik juga perlawanan yang berlaku di antara mereka - yakni melalui pertempuran fizikal dan secara kebatinan/ spiritual. Tapi dalam dunia nyata - ini memang benar-benar berlaku. Misalnya diri kita sendiri - kita sentiasa berperang dengan hawa nafsu agar tidak tergelincir dari landasan yang benar.

Oleh sebab itu, novel ini selain menampilkan adegan, plot, sub plot yang agak menarik, ianya mempunyai nilai-nilai dakwah secara tidak langsung. Dan sekaligus watak Saifudin membawa maksud seseorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Perjalanannya yang sukar itu sentiasa diwaspadai serta tidak sesekali meninggalkan ingatannya terhadap Allah. Bahagian ini agak saya gemari, berulang-ulang kali penulis menonjolkan sifat terpuji Saifudin yang sentiasa mengaingati Allah pada setiap detik, saat dan ketika.

Apa-apa hal pun, tahniah kepada penulis novel ini yang membawa perspektif dakwah secara berlainan. Semoga penulis ini terus tekal dan lestari dalam menghasilkan karya-karya yang menarik.

Sumber Ulasan : Mandala Resensi

No comments: