Sunday, January 18, 2009

Aku Bukan Hisyam

Saya sedikit kecewa apabila mengetahui novel ini diterbitkan dengan tajuk di atas. Tajuk asalnya adalah SAM C1G1 - iaitu nama cyborg yang telah 'dihidupkan' semula melalui kaedah saintifk. Apabila terbit, ia telah ditukar pada tajuk di atas. Ini adalah salah satu buku yang telah saya edit dahulu dan sepatutnya ia terbit dalam versi yang lebih panjang tanpa perlu ada sambungan. Bagi saya novel ini amat menarik.

Dalam kerancakan letusan novel-novel fiksyen sains, saya kira novel ini bagaikan terpinggir sedikit, maksud saya orang takkan perasan bahawa novel ini adalah bergenrekan fiksyen sains. Disebabkan tajuk dan kulit muka depan novel ini bagai menggambarkan novel cinta. Mahu dikata tajuknya komersil, tidak juga, mahu dikatakan berunsurkan fiksyen sains, tidak juga. Jadi, tajuknya biasa-biasa sahaja. Aduhai ...

Bagi saya, tajuk ini memainkan peranan yang besar dalam memperihalkan survival dan penjualan novel tersebut. Sekiranya bernasib baik, pembeli atau pembaca akan tahu bahawa itu adalah novel fiksyen sains. Semasa mengedit novel ini dahulu, saya sudah membariskan kewajaran novel ini untuk diterbitkan dalam katogeri dewasa, nah... apabila terbit, ia berstatuskan novel awal remaja.

Tapi tidak mengapa, apa pun novel ini tetap berbaloi untuk membacanya. Bagaikan mengimbas kisah-kisah peperangan antara galaksi, filem-filem futuristik atau superheroes yang bertindak untuk menyelamatkan bumi dari ancaman makhluk asing yang mempunyai peradaban teknologi yang jauh lebih tinggi dari penduduk di bumi. Watak Hisyam yang telah mati dalam peperangan dengan Krimna dibangkitkan semula melalui teknologi canggih oleh sahabatnya sendiri, Prof. Ikmal. Sesekali terbayang di mata saya tentang filem Universal Soldier, lakonan Van Damme. Projek untuk 'membangunkan semula' dinamakan Projek Janus dan ia ditaja oleh sebuah syarikat yang bernama Suluken Corporation.

Tajuk : Aku Bukan Hisyam (2008)
Penulis : Silzack Khairol
Penerbit : KarnaDya Solutions
Harga : RM 14.90

SAM C1G1 atau SAM (dari nama asalnya Hisyam, menjadi SAM) dan C1G1 yang bermaksud Cyborgsaver Generasi 1 adalah buah tangan dari penulis baru, Silzack Khairol adalah merupakan satu cubaan yang menarik. Ya, tentunya bagi peminat kisah-kisah futuristik, ini adalah satu lagi buah tangan yang perlu disambar dari rak kedai dengan segera. (Sayang, dibuatkan dua bahagian - ada sambungan). Watak heroik Sam yang mempunyai kuasa artifisial yang luar biasa membolehkan dia menghadapi musuh yang amat dahsyat, Krimna yang cuba menghancurkan bumi dengan menukarkan dirikan sebagai meteor lalu menyedut tenaga magnetik bumi.

Melalui 'gerbang masa' (gerbangnya digambarkan seperti gerbang masa dalam filem Stargate) SAM telah pergi semula ke zaman lampaunya untuk melihat apakah yang sebenarnya terjadi. Maka, di situlah SAM mendapati bahawa meteor tersebut adalah Krimna yang jahat. Selain dari itu (mungkin dalam bahagian dua) akan menceritakan bagaimana SAM diculik oleh Lex Technologies untuk dimanipulasi bagi menjayakan cita-citanya untuk menguasai bumi! Sesekali ada imbasan filem Matrix apabila nama watak diselitkan ke dalam novel ini serta diubah sedikit. :)

Yeah! Kepada penulis ini, janganlah merasa kecewa pada tajuk tersebut. Teruskan sahaja menulis dan tentunya suatu masa nanti khalayak akan mengetahui bahawa anda menulis karya fiksyen sains, bukannya kisah cinta.

Sumber : Mandala Resensi

1 comment:

IMAM MUHAMMAD JIBRIL AL-KHAIR said...

Aku bukan hisyam part 2 akan ada di pasaran... bulan 6 atau 7 ni ...insyallah...

sekarang... saya menanti reaksi pembaca tentang novel baru saya...
PAHLAWAN ADAMUS....

baca dan komen novel ini ya..

salam:)